Aurat Lelaki, bicara yang diabaikan.

 

Apakah batasan aurat lelaki?

Batasan yang disepakati oleh ulamak ialah dua kemaluan iaitu depan (bahagian zakar) dan belakang (bahagian punggung). Wajib lelaki menutup dua bahagian tersebut dari diperlihatkan kepada orang lain. Adapun yang selain dari itu, maka para ulamak berbeza pandangan;

Pandangan pertama; aurat lelaki ialah kawasan di antara pusat dan lutut. Jadi berdasarkan pandangan ini, paha adalah aurat dan wajib ditutup. Dalil mereka hadis dari Jarhad al-Aslami r.a. yang menceritakan; “Rasulullah duduk bersama kami sedang pahaku ketika itu terbuka. Lalu Rasulullah berkata kepadaku;

أما علمت أنَّ الفخذ عورةٌ
“Apakah kamu tidak mengetahui bahawa paha adalah aurat?”. (Riwayat Imam Abu Daud, Tirmizi dan Malik)

Pandangan pertama ini merupakan pandangan jumhur ulamak.

Pandangan kedua; aurat lelaki hanyalah dua kemaluannya sahaja iaitu depan dan belakang. Paha tidaklah aurat. Mereka berdalilkan beberapa hadis antaranya hadis Anas r.a. yang menceritakan;

أن النبي صلى اللَّه عليه وسلم يوم خيبر حسر الإزار عن فخذه حتى إني لأنظر إلى بياض فخذه
“Pada hari peperangan Khaibar, terselak kain dari paha Nabi s.a.w. hingga aku dapat melihat putihnya paha baginda” (HR Imam Ahmad dan Imam al-Bukhari).

Pandangan kedua ini adalah pandangan mazhab az-Zahiri dan sebahagian ulamak mazhab Maliki.

Menurut Imam al-Bukhari; hadis Anas di atas lebih kuat sanadnya, namun hadis Jarhad adalah lebih berhati-hati. Jadi sebagai langkah berhati-hati (ihtiyat), lebih baik kita berpegang dengan pandangan jumhur kerana kita dapat lari dari khilaf dan keraguan. Sabda Nabi s.a.w.; “Tinggallah yang meragukan kamu untuk berpindah kepada apa yang tidak meragukan kamu” (HR Imam at-Tirmizi dan an-Nasai. Menurut at-Tirmizi; hadis ini hasan soheh).

Adakah pusat dan lutut termasuk aurat dan wajib ditutup?

Jumhur ulamak (merangkumi Imam Malik, Syafi’ie dan Ahmad) berpandangan; pusat dan lutut tidaklah aurat, namun wajib ditutup sebahagian darinya untuk menyempurnakan penutupan kawasan aurat di atas (yakni kawasan antara pusat dan lutut) kerana sesuatu yang tidak sempurna yang wajib kecuali dengannya maka ia turut menjadi wajib. Maksud wajib ditutup sebahagiannya ialah; menutup sebahagian pusat sebelah bawah dan sebahagian lutut sebelah atas.

Menurut mazhab Imam Abu Hanifah; Pusat tidaklah aurat, akan tetapi lutut adalah aurat dan wajib ditutup.

Apakah batasan aurat lelaki di dalam solat?

Batasan aurat lelaki di dalam solat sama seperti di luar solat iaitu antara pusat dan lutut mengikut pandangan jumhur ulamak. Menutup aurat di dalam solat adalah wajib dengan ijmak ulamak. Tidak harus seseorang mengerjakan solat dalam keadaan telanjang sedangkan ia mempunyai pakaian untuk menutup aurat dan solatnya adalah batal.

Apakah hukum lelaki mengerjakan solat tanpa berbaju?

Terdapat tegahan dari Nabi s.a.w. menyebutkan;

لاَ يُصَلِّي أَحَدُكُمْ فِي الثَّوْبِ الْواحِدِ، لَيْسَ عَلَى عَاتِقَيْهِ مِنْهُ شَيْء
“Janganlah sesiapa dari kamu mengerjakan solat dengan satu pakaian sahaja di mana tidak ada di atas bahunya satu pakaian pun” (HR Imam al-Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah r.a.)

Menurut mazhab Hanbali dan Hanafi; tegahan hadis di atas menunjukkan kepada pengharaman. Jadi menurut pandangan ini; wajib ketika mengerjakan solat kita menutup atas badan kita dengan sebarang kain sekalipun nipis sekadar tidak menampakkan warna kulit.

Namun mazhab Syafi’ie dan Malik berpandangan; larangan dalam hadis di atas hanyalah larangan makruh sahaja, tidak haram. Jadi, mengikut pandangan ini; kita disunatkan memakai baju atau menutup bahagian atas badan kita ketika solat dan jika kita tidak melakukannya tidaklah sampai berdosa atau sampai membatalkan solat asalkan kita telah menutup aurat yang wajib (iaitu dari pusat ke lutut). Dalil pandangan kedua ini ialah; hadis dari Abu Hurairah r.a. yang menceritakan; seorang lelaki bertanya Nabi s.a.w.; ‘Adakah harus sesiapa dari kami menunaikan solat dengan hanya satu pakaian sahaja?’. Jawab Nabi s.a.w.;

أَوَ كُلُّكُمْ يَجِدُ ثَوْبَيْنِ
“Adakah ke semua kamu memiliki dua pakaian?”.
(Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim)

Hadis ini memberi pengertian; tidak semua orang memiliki dua pakaian. Jadi jika diwajibkannya sudah tentu akan menyukarkan orang yang tidak mampu untuk menunaikan solat. Berkata Imam an-Nawawi; hadis ini menunjukkan keharusan mengerjakan solat dengan memakai satu pakaian sahaja. Namun para ulamak sepakat bahawa; memakai dua pakaian adalah paling baik.

Hakcipta artikel milik .

Your comments~

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: