Mitos Rehlah Ibnu Bathutah Tentang Ibnu Taimiyah.

Oleh: Hasrizal Abdul Jamil Universiti Mutah, Jordan 7 Julai 1999

Firman Allah SWT: “Wahai orang-orang yang beriman, apabila datang seorang fasiq kepada kamu membawa berita, periksalah ia terlebih dahulu. Agar nanti jangan kamu menghukum sesuatu kaum dalam keadaan jahil (terhadap apa yang benar), lantas kamu kemudiannya menyesal atas apa yang telah kamu lakukan” (Surah Al-Hujurat 49 : 6)

Firman-Nya lagi: “Dan janganlah kamu berpendirian di dalam sesuatu perkara yang kamu tidak ada pengetahuan mengenainya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati itu akan dipersoalkan (di akhirat).” (Surah Al-Isra 17 : 36)

Kenyataan bahawa begitu ramai ulamak yang ditohmah oleh umat Islam sendiri, adalah sesuatu yang pedih untuk diterima tetapi terpaksa diakui bersama. Bermula daripada tuduhan-tuduhan melampau terhadap ulamak seawal Imam At-Thabari serta Imam Al-Hakim An-Naisaburi dan seterusnya Ibnu Taimiyah dsb, semuanya itu sentiasa menjadi wacana perbalahan yang selalunya berakhir dengan kerugian terhadap umat Islam itu sendiri. Sikap menelan semua fakta dan bahan penulisan tanpa meneliti secara adil latar belakangnya, adalah satu perilaku yang bercanggah dengan amanah ilmu dan mengakar umbikan permasalahan seperti yang tersebut di atas.

Saya tertarik dengan tulisan saudara Abdul Rasyid Idris di dalam Majalah Tamadun keluaran Jun 1999 yang diberikan tajuk “Lagi Sokongan Buat Syeikh Wahabi” di mukasurat 8. Permusuhan terhadap Muhammad bin Abdul Wahab dan gerakan Wahabiah banyak berpunca daripada hubungkait aliran ini dengan method Ibnu Taimiyah. Ia digambarkan sebagai proses tajdid (pembaharuan) kepada aliran pemikiran Ibnu Taimiyah sekaligus mengheret cerita-cerita buruk berkenaan Ibnu Taimiyah sebagai hujah juga untuk menghukum Muhammad bin Abdul Wahab.

Oleh yang demikian, pembersihan imej Muhammad bin Abdul Wahab, mahu tidak mahu mesti melibatkan usaha memurnikan syakhsiah Ibnu Taimiyah daripada tohmahan liar mereka yang memusuhinya.

Kebanyakan pihak yang menuduh sesat Ibnu Taimiyah, banyak mengambil hujah daripada riwayat-riwayat yang terkandung di dalam buku Pengembaraan (Rehlah) Ibnu Bathutah. Misalnya Kiyai Sirajuddin Abbas di dalam bukunya “Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah” yang masyhur di tanah air. Musuh-musuh Ibnu Taimiyah mendakwa bahawa beliau termasuk di dalam golongan Ahli Tamsil (yang menyamakan Allah SWT dengan makhluk) serta Ahli Tajsim (yang menjisimkan Allah SWT). Dakwaan ini datangnya daripada permusuhan mereka terhadap Ibnu Taimiyah itu sendiri dan yang keduanya berdasarkan keterangan Rehlah Ibnu Bathutah; sebuah kitab yang penuh dengan pembohongan dan mitos yang tertolak oleh disiplin ilmu yang sahih.

Di sini saya akan membawakan catatan yang dibuat oleh Al-Allamah Bahjatul Baithar tentang penipuan kisah Hadith An-Nuzul (hadith yang menerangkan tentang turunnya Allah dari langit bumi ke dunia) sebagaimana yang dihikayatkan oleh Ibnu Bathutah. Ibnu Bathutah di dalam riwayat pengembaraannya ke Damsyik menceritakan betapa satu ketika beliau melihat Ibnu Taimiyah mengajar di atas mimbar Masjid Umawi di Damsyik. Lalu beliau ditanya tentang ‘Hadith An-Nuzul’ itu tadi, lantas Ibnu Taimiyah menjawab, “Tuhan turun sebagaimana turunnya aku ini..!”. Rujuk Rehlah Ibnu Bathutah (juzuk 1 ms. 57)

Berikut adalah beberapa noktah penting tentang riwayat Ibnu Bathutah berkenaan:

Ibnu Bathutah hakikatnya tidak pernah mendengar dari Ibnu Taimiyah atau berkumpul bersamanya. Ini berdasarkan fakta bahawa beliau telah sampai ke Damsyik pada hari Khamis 19 Ramadhan 726H, sedangkan Ibnu Taimiyah telah pun dikurung di dalam penjara Kota Damsyik di awal bulan Syaaban tahun berkenaan. Beliau terus dipenjara di dalam kota itu sehinggalah pulang ke rahmatullah pada malam 22 Dzulkaedah tahun 728H. Jika begitu perihalnya, maka bilakah masanya Ibnu Bathutah melihat Ibnu Taimiyah mengajar di atas mimbar Masjid Umawi sebagaimana yang didakwa di dalam riwayatnya itu tadi?!
Rehlah Ibnu Bathutah sedia dimaklumi oleh mereka yang mengkajinya sebagai sebuah buku yang penuh dengan riwayat dan hikayat yang ganjil. Banyak fakta di dalamnya tidak mampu diterima oleh akal dan naqal bahkan hanya mengaibkan mereka yang meriwayatkannya. Misalnya di dalam juzuk 1 ms. 54, Ibnu Bathutah menyatakan bahawa di tengah-tengah Masjid Umawi terletaknya makam Nabi Zakaria AS. sedangkan makam berkenaan adalah makam Nabi Yahya AS. Ibnu Bathutah juga menyatakan bahawa beliau telah meriwayatkan daripada Sufian Ats-Tsauri tentang kelebihan Damsyik kononnya mendirikan solat di Masjid Umawi itu sama pahalanya dengan mendirikan 30 ribu solat di tempat lain! Hal ini tidak pernah muncul di dalam periwayatan sesiapa, apatah lagi oleh Sufian Ats-Tsauri. Tidak mungkin bersolat di Masjid Umawi lebih utama dari mendirikan solat di Masjid Nabawi dan Masjidil Aqsa.
Ibnu Taimiyah tidak pernah mengajar atau berkhutbah di atas mimbar Masjid Umawi sebagaimana yang didakwa oleh Ibnu Bathutah. Bahkan apa yang jelas Ibnu Taimiyah apabila mengajar, hanya duduk di atas kerusi dan dikelilingi oleh hadirin, sebagaimana yang diterangkan oleh Al-Hafidz Adz-Dzahabi.
Al-Hafidz Ibnu Hajar menjelaskan di dalam Ad-Durarul Kaminah (juzuk 1 ms. 154) tentang tindakan sesetengah ulamak di zaman Ibnu Taimiyah menghebohkan masalah riwayat turunnya beliau dari tangga mimbar itu berpunca daripada penulisan Ibnu Taimiyah yang menentang fahaman Wahdatul Wujud, yang mana mereka itu telah menyelitkan sekali kisah kononnya Ibnu Taimiyah telah turun dari mimbar sebanyak dua anak tangga lalu berkata “.. Tuhan turun sebagaimana turunnya aku ini..” Lantas dengan mitos itu, Ibnu Taimiyah dikaitkan dengan fahaman tajsim.
Dari kalam Ibnu Bathutah juga, kononnya Ibnu Taimiyah telah dipenjarakan beberapa tahun dengan perintah Al-Malik An-Nasir, lalu menulis semasa di dalam tahanan itu sebuah kitab tafsir yang dinamakan ‘Al-Bahrul Muhith’. Kemudian bonda Ibnu Taimiyah telah mengadu dan membantah tindakan Al-Malik An-Nasir lalu diperintahkan agar Ibnu Taimiyah dibebaskan. Akan tetapi kemudiannya Ibnu Taimiyah telah dipenjarakan sekali lagi. Ibnu Bathutah mendakwa bahawa beliau berada di Damsyik dan pada waktu itulah beliau menyaksikan perihal Ibnu Taimiyah dan kisah Hadith An-Nuzul berkenaan.
Ibnu Bathutah juga meriwayatkan kononnya Al-Faqih Al-Maliki menceritakan bahawa Ibnu Taimiyah telah dipukul dengan tangan dan kasut sehingga terjatuh serbannya lantas tersingkap bahawa di atas kepalanya, Ibnu Taimiyah memakai kain kasa sutera!
Apa yang jelas, Al-Malik An-Nasir adalah orang yang bertanggungjawab mengeluarkan Ibnu Taimiyah dari tahanan di Iskandariah, Mesir. Beliau juga merupakan orang yang menyambut ketibaan Ibnu Taimiyah dengan disertai oleh para hadirin yang ramai termasuk para ulamak dan qadhi. Antara yang hadir menyambut Ibnu Taimiyah adalah Ibnu Makhluf Al-Maliki yang memusuhi beliau. Ibnu Makhluf pernah meminta Ibnu Taimiyah supaya mengeluarkan fatwa membunuh beberapa orang qadhi tetapi tidak mendapat persetujuan Ibnu Taimiyah.

Manakala bonda Ibnu Taimiyah pula telah meninggal dunia pada hari Rabu 20 Syawal tahun 716H, selepas Ibnu Taimiyah pulang ke Damsyik. Beliau tidak pernah mengadu kepada mana-mana pemerintah berkenaan anaknya Ibnu Taimiyah sebagaimana yang dihikayatkan oleh Ibnu Bathutah.

Memang tidak dinafikan bahawa Ibnu Taimiyah telah dipenjarakan di akhir hayatnya itu atas perintah Al-Malik An-Nasir. Ini berikutan daripada penguasaan para ulamak yang memusuhi Ibnu Taimiyah, terhadap Al-Malik An-Nasir. Mereka mendakwa bahawa Ibnu Taimiyah telah mengeluarkan fatwa mengharamkan ziarah ke makam Rasulullah SAW, sebagai usaha untuk memfitnahnya. Lantas Al-Malik An-Nasir telah memerintahkan supaya Ibnu Taimiyah dipenjara. Peristiwa ini berlaku pada hari Isnin 6 Syaaban 726H.

Kisah Al-Faqih Al-Maliki tentang pemakaian sutera oleh Ibnu Taimiyah itu juga merupakan mitos Ibnu Bathutah. Ibnu Al-Athir mahupun Ibnu Kathir atau Ibnu Hajar Al-Asqalani, tidak pernah meriwayatkan kisah sedemikian rupa, yang mustahil ditinggalkan ketika proses mengadili perawi (ilmu al-jarh wat ta’dil) dibuat. Semestinya Ibnu Taimiyah kehilangan kredibilitinya jika benar beliau memakai sutera sebagaimana yang didakwa oleh Ibnu Bathutah!

Adapun tohmahan-tohmahan lain yang dilemparkan oleh sekalian pihak terhadap Ibnu Taimiyah tanpa mendatangkan sebarang bukti, tidaklah ia mempunyai sebarang nilai di sisi keilmuan Islam. Golongan seperti ini sentiasa menjadikan tohmahan dan fitnah sebagai alat untuk menentang musuhnya. Bahkan Baginda SAW sendiri tidak terlepas dari dituduh sebagai ahli sihir dan penyair jahat. Begitu juga fitnah musuh terhadap para sahabat seperti Uthman Al-Affan RA, Abu Hurairah RA, Muawiyah bin Abi Sufian RA dsb. Mereka yang banyak menyumbang kepada umat, mereka jugalah yang banyak diserang tohmahan musuh termasuk daripada kalangan umat Islam yang memperhambakan diri kepada hawa nafsu dan kejahilan.

Kesimpulan

Kita tidak mendakwa sesiapa dengan dakwaan ismah (kemaksuman) selain daripada mereka yang mendapat peruntukan khusus oleh Allah SWT dari kalangan Nabi dan Rasul AS. Di sana terdapat pelbagai pro dan kontra berhubung dengan pendirian dan seruan Ibnu Taimiyah, baik di zaman beliau mahu pun pada masa-masa yang mendatang selepas itu. Maka kita nyatakan bahawa, bagi Ibnu Taimiyah apa yang betul, dan ke atasnyalah segala kesilapan yang pernah berlaku. Sesungguhnya ALlah lebih mengetahui apa yang layak untuk sekalian hambaNya. Akan tetapi, memburuk-burukan nama beliau atau mana-mana ulamak yang telah menghabiskan hidupnya untuk mempertahankan Islam, ia bukanlah sesuatu yang sihat untuk diketengahkan ke gelanggang perbualan masyarakat. Tidak dinafikan, ada di antara fatwanya yang berbeza dengan pendapat majoriti dan masyhur, tetapi ia tidaklah menjadi satu kesalahan kerana kedudukannya sebagai mujtahid. Bahkan setiap hujahnya, adalah berserta dengan dalil yang terbuka untuk dibincangkan oleh mereka yang tidak bersetuju, tetapi bukannya dengan melemparkan tohmahan melulu yang bercanggah dengan kemuliaan etika umat ini.

Selain hujah-hujah di atas, ada pula segelintir yang menganggapnya Ibnu Taimiyahsesat semata-mata dengan alasan bahawa beliau itu seorang banduan yang mati dalam tahanan, adalah hujah dangkal yang memalukan pendukungnya. Sebelum Ibnu Taimiyah, Imam Abu Hanifah juga pernah dipenjara. Apakah itu menjatuhkan martabat beliau? Tidak sama sekali! Bahkan yang berlaku adalah sebaliknya. Bersedia menanggung azab demi mempertahan kebenaran…!

Jika kita membaca tentang Ibnu Taimiyah sama ada melalui penulisannya, mahupun berdasarkan pendapat ulamak tentang beliau, kita akan dapati bahawa Ibnu Taimiyah tidaklah seperti yang digambarkan oleh tohmahan- tohmahan yang dilemparkan kepadanya bahkan itu semua hanyalah rekaan musuh-musuh yang mengelilingi beliau. Ini adalah kerana, kebanyakan musuh Ibnu Taimiyah adalah dari kalangan Ahli Fiqh dan Tasauf yang berkepentingan, terutamanya dengan pemerintah ketika itu. Sesungguhnya jihad Ibnu Taimiyah, usaha beliau dan sumbangan baktinya, tidak mungkin tersembunyi dari pengetahuan sesiapa yang mengkaji, melainkan orang-orang yang jahil dan taasub.

Bacalah tulisan-tulisan Ibnu Taimiyah yang begitu banyak dan mudah diperolehi. Dari risalah yang ringkas seperti Risalah Al-Wasithiah hinggalah kepada tulisan-tulisannya yang besar seperti Minhaj As-Sunnah yang meruntuhkan ‘berhala’ syiah, pasti akan kita temui suatu pembentangan ilmu yang hebat dan mulia sebagai warisan umat ini. Lihat sahaja Risalah Al-Wasithiah yang beliau sediakan atas permintaan penduduk Wasith. Penjelasan tentang akidah berdasarkan ayat-ayat Al-Quran dan As-Sunnah yang sahih telah diperdebatkan beberapa kali di antara beliau dan ulamak yang sezaman dengannya. Akan tetapi tidak pula ada yang mampu membuktikan kesalahan atau kesesatan risalah berkenaan, bahkan mereka mengiktirafnya.

Malangnya, bilamana permusuhan mengatasi rasional ilmiah, berlakulah apa yang telah berlaku. Apabila gagal mendatangkan hujah untuk melawan, mereka mencipta pula pembohongan dan fitnah. Bencana ini berterusan pula apabila timbul budaya menafsirkan istilah seseorang tanpa merujuk kepada pemahamannya tentang istilah itu. Penggunaan istilah oleh Ibnu Taimiyah banyak ditafsirkan sebagai dalil yang membuktikan beliau itu seorang ahli tajsim, menetapkan arah dan tempat bagi Allah dan sebagainya. Sedangkan penggunaan istilah sedia dimaklumi oleh kita semua bagaimana ia mempunyai dilalat (pemaknaan) dan pemahaman yang kadangkala berkembang, berbeza dari seorang kepada seorang yang lain, dari satu zaman ke satu zaman yang lain.Hal yang sama berlaku kepada mereka yang menghukum sesat Syed Qutb semata-mata kerana tidak memahami istilah dan maksud yang Syed Qutb gunakan di dalam penulisan beliau. Sungguh malang keadaan seperti ini…

Inilah yang berlaku kepada Ibnu Taimiyah dan Muhammad bin Abdul Wahab. Kedua-duanya muncul pada zaman yang rumit. Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah muncul ketika umat Islam belum sembuh dari kehancuran Daulah Abbasiyyah tahun 656H. Manakala Muhammad bin Abdul Wahab pula berusaha untuk mengislahkan umat ketika Daulah Othmaniyyah berada di ambang kehancuran. Dua zaman yang menyaksikan bagaimana umat diselaputi segala macam bencana. Daripada masalah khurafat, pembohongan dan bidaah yang tersebar, hinggalah kepada tercemarnya keilmuan Islam dengan hadirnya ramai yang bergelar ulamak tetapi mempunyai niat jahat untuk mendapatkan sedikit habuan dunia daripada pemerintah. Soal bacaan politik Muhammad bin Abdul Wahab tentang kedudukan Daulah Othmaniyyah adalah soal lain. Aqidah dan fiqh yang sahih, belum menjamin seseorang itu untuk membuat bacaan politik yang tepat. Maka pemberontakan Wahabiah di hadapan kepimpinan Daulah Othmaniyyah adalah tajuk yang berasingan daripada soal kesesatan aqidah dan sebagainya. Setiap satu persoalan hendaklah kita pertimbangkan dengan adil secara berasingan.

Marilah kita bersama-sama meneliti dan merenung kembali segala perihal itu tadi.Adalah tidak wajar kita menganggap satu-satu fakta itu telah muktamad dan benar semata-mata kerana ia masyhur atau disokong oleh segelintir yang menisbahkan diri kepada ilmu dan Islam. Kajilah secara adil agar kerugian umat akibat kemusnahan Baghdad dulu tidak menjadi lebih kronik dengan mentohmah ulamak dan warisannya yang berbaki.. Mudah-mudahan Allah menunjukkan kepada kita apa yang benar, lalu direzekikan untuk mematuhinya, serta menunjukkan kepada kita apa yang batil, lalu diberi kekuatan untuk membanteras dan menjauhinya.

Firman Allah SWT: “Wahai orang-orang yang beriman, apabila datang seorang fasiq kepada kamu membawa berita, periksalah ia terlebih dahulu. Agar nanti jangan kamu menghukum sesuatu kaum dalam keadaan jahil (terhadap apa yang benar), lantas kamu kemudiannya menyesal atas apa yang telah kamu lakukan” (Surah Al-Hujurat 49 : 6)

Firman-Nya lagi: “Dan janganlah kamu berpendirian di dalam sesuatu perkara yang kamu tidak ada pengetahuan mengenainya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati itu akan dipersoalkan (di akhirat).” (Surah Al-Isra 18 : 34)

Sebarang kemusykilan rujuk saifulislam.com.

2 responses to this post.

  1. SALAM. mintak betulkan sebab ada sikit silap rujukan. ayat permulaan dah betul dr surah al-Isra’. cuma surah ke-17 dan ayat 36.

    Reply

Your comments~

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: