Mengapa Harus Bersedih!

Saudaraku,

Nikmat yang terbesar bagi setiap muslim ialah islam dan iman. Allah benar janji-Nya. Allah telah menentukan sesuatu yang terbaik buat hamba-Nya samada nikmat mahupun ujian. Setiap yang berlaku, ada hikmahnya. yang hilang tidak bermakna binasa. Yang pergi tidak bermakna kita hilang segalanya. Kalau kita ukur banyak mana yang Allah ambil, dibandingkan dengan banyak mana yang Allah beri kepada kita, tidak akan terhitung nilainya. Firman Allah :

“Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak akan mampu menghitungnya.”

(Ibrahim 14:34)

Mata, telinga, mulut, tangan, kaki dan sebagainya. Harta yang melimpah ruah. Pandang di sekitarmu. Apa yang kurang? Tidak ada apa yang kurang, wahai saudaraku sekalian. Rumah, kereta, isteri, anak-anak, segalanya cukup.

Dan apabila musibah menimpa, Allah tarik balik sedikit sahaja dari kurnia-Nya, mengapa harus berdukacita? Mengapa harus bersedih? Bukankah itu petanda bahawa Allah mungkin menggantikannya dengan sesuatu yang lebih baik? Allah tarik sesuatu untuk Allah berikan sesuatu yang lain, InsyaAllah. Tidak mustahil.

Berlapang dada kepada Allah, bahawa Allah menentukan segalanya. Yakinlah. Firman Allah:

” Janganlah engkau takut dan jangan pula bersedih hati.”

(Al-Ankabut 29:33)

Saudara,

Kadang-kadang manusia merasa dukacita kerana beban hidup yang terlalu banyak. Penyakit yang menimpa. masalah keluarga yang banyak. Masalah anak, masalah isteri, masalah jiran, masalah kerja, masalah kereta, masalah itu dan sebagainya. Maka dia bersedih, dia berdukacita, jiwanya tertekan.

Mengapa harus bersedih? Bukankah hidup ini penuh dengan perjuangan mengatasi segala masalah? Hidup bermakna kita berdepan dengan masalah. Orang yang tidak mahu berdepan dengan masalah maka dia tidak layak untuk hidup di dunia ini. Masalah yang besar yang tetap kita akan hadapi ialah hasutan syaitan. Tidak ada masalah yang lebih besar daripada itu.

Mungkin kita merasakan bahawa anak yang terlalu menekan. Anak kita nakal, anak kita degil, anak kita tidak mendengar cakap, anak kita suka melawan dan sebagainya. Saudara, bukankah itu mengajak kita untuk berusaha berjihad mendidiknya! Dan setiap didikan yang baik kepada anak kita akan diberikan ganjaran pahala oleh Allah SWT.

Apakah ada masalah yang lebih besar di dunia ini selain daripada masalah berdepan dengan hasutan syaitan? Syaitan sentiasa mengajak kita untuk melakukan kejahatan dan maksiat. Itu masalah yang besar. Oleh sebab itu, mujahadatun-nafs ( melawan nafsu, melawan syaitan, melawan iblis, itu adalah asas kepada perjuangan jihad manusia di muka bumi ini.

Iblis telah bersumpah dengan Allah SWT bahawa dia akan menggangu bani Adam, dia akan menggoda bani Adam, dia akn menyesatkan bani Adam. Mereka akan berusaha untuk melakukan itu secara berterusan, sejak daripada kita kecil, dewasa, hinggalah kita kembali kepada Allah SWT.  Ini masalah yang perlu kita hadapi.

Masalah yang kita lalui mematangkan jiwa kita, mematangkan akal fikiran kita, mematangkan peribadi kita. Akhirnya orang yang sudah banyak melalui masalah, dia menjadi manusia yang tenang, kerana dia rasa lapang dengan segala penyelesaian yang dia hadapi.

Saudaraku , yakinlah dengan sebarang masalah diserahkan kepada Allah. Kita setakat berusaha, Allah yang menentukan. Usaha dan tawakal perlu seiringan. Usaha, doa dan tawakal kepada Allah adalah kekuatan kita, umat Islam. Allahuakbar!

 

Your comments~

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: